Ahad, 28 November 2010

PANDUAN DAN BATASAN SYARIAT DALAM MEMBENARKAN HIBURAN NYANYIAN

*Oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi*
(TELAH DIRINGKASKAN DARIPADA PETIKAN ASAL)*

Di sini, kami tidak lupa untuk menambah beberapa panduan dan batasan yang perlu diambil kira sehingga nyanyian kekal dalam hukum halal. Antaranya:

1-Lirik lagu hendaklah bebas dari segala penyelewengan syariat
Kami tegaskan di sini bahawa bukan semua nyanyian hukumnya harus. Nyanyian yang harus hendaklah mempunyai tema yang bertepatan dengan ajaran Islam, tidak bercanggah dengan aqidah, syariat mahupun akhlak Islam.



2-Persembahan Yang Tidak Melampau Dan Menggoda
Gaya persembahan juga mempunyai kesan dan kepentingannya. Terdapat lagu yang mana liriknya tidak bermasalah namun cara ia dipersembahkan oleh penyanyi lelaki atau wanita telah mengeluarkannya dari zon halal kepada zon haram, syubhat ataupun makruh. Mereka sengaja memanja-manjakan vokal mereka dan menghairahkan lengguk badan semata-mata untuk membangkitkan syahwat yang dibendung dan menggoda jiwa yang lemah..

3. Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang haram.
Aspek ketiga ialah: Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang diharamkan seperti minum arak, menagih dadah, muzik yang menghairahkan seperti yang mengiringi lagu-lagu barat masa kini, antaranya yang berkonsep budaya hippies (hip-hop) dan seumpamanya. Begitu juga muzik yang mengiringi nyanyian yang diharamkan yang mana dengan menyanyikan lagu tersebut akan menyebut secara langsung perkara haram tersebut. Contohnya lagu yang menyebut perkataan lucah, berhias dan pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa ikatan dan had. Inilah yang biasa berlaku dalam konsert dan majlis-majlis nyanyian semenjak dahulu lagi, sehingga apabila disebut sahaja majlis nyanyi-nyanyian, gambaran yang datang secara langsung di dalam minda ialah: Arak, dayang-dayang dan perempuan.

Situasi sebeginilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللهُ بِهِمْ اْلأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمْ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ

'Umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama yang lain. Mereka dialunkan oleh muzik dan penyanyi-penyanyi. Allah akan membinasakan mereka dan menjadikan sebahagian mereka beruk-beruk dan babi-babi'.

Ingin saya menarik perhatian di sini bahawa: Pada zaman dahulu, untuk mendengar nyanyian, seseorang perlu pergi ke majlis-majlis nyanyian dan bercampur gaul dengan golongan artis dan pembantu-pembantu mereka. Jarang terdapat majlis sebegitu yang bebas dari perkara-perkara yang diingkari syariat dan agama.

Namun pada zaman ini, keadaannya sudah berbeza. Seseorang boleh mendengar lagu dalam keadaan berjauhan dari khalayak dan majlis tersebut. Tidak syak lagi bahawa ini adalah satu elemen yang boleh meringankan hukum dalam isu ini. Ia boleh menyebabkan hukum nyanyian lebih kepada zon diizinkan dan dipermudahkan, jika bebas dari segala kemungkaran.

4-Tidak Berlebih-lebih Dalam Mendengar Nyanyian

Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah dihadkan agar tidak berlebihan. Allah s.w.t. telah berfirman:

'Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas'. (Al-Aa’raf: 31)

Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda:

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالْبَسُوا وَتَصَدَّقُوا فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ

Makanlah, minumlah, bersedakah dan berpakaianlah tanpa berlebihan dan sombong

Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban dan kitab Suhuf Nabi Ibrahim ada menyebut:

“Seorang yang waras perlu menumpukan perhatiannya kepada tiga perkara: Mencari kehidupan duniawi, mencari bekalan untuk hari akhirat atau keseronokan yang tidak diharamkan.”

Oleh itu marilah kita bahagi-bahagikan waktu kita secara adil antara tiga-tiga perkara ini. Hendaklah kita ketahui bahawa Allah akan mempersoalkan setiap manusia berkenaan umurnya, kemanakah dihabiskannya?, juga berkenaan masa mudanya, apakah yang dilakukan dengannya?

Sifat ingin sentiasa berhibur adalah satu jenayah. Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan terus menerus. Begitu jugalah keadaannya dengan sebahagian perkara harus yang lain. Terus menerus melakukannya akan menjadikannya dosa walaupun dalam skala yang kecil. Contohnya: Sentiasa berhibur mendengar nyanyian dan tarian kaum Afrika dan Habsyi secara berterusan. Ia adalah dilarang walaupun pada asalnya tidak haram kerana Rasulullah sendiri melakukannya.

Antara contoh yang sama dalam hal ini ialah bermain catur yang diharuskan oleh syarak. Namun apabila terus menerus dimainkan, hukumnya akan bertukar menjadi makruh yang amat dibenci. Sekiranya tujuan sesuatu permainan adalah untuk berseronok dan berhibur, ia diharuskan kerana ia dapat merehatkan hati. Kerehatan hati akan menjadi penawar kepadanya dalam beberapa keadaan, membangkitkan semula semangatnya lalu mendorongnya untuk berusaha lebih gigih sama ada dalam urusan dunia seperti mencari pendapatan dan berniaga, ataupun dalam perkara agama seperti sembahyang dan membaca al-Quran.

5. Berkaitan Dengan Pendengar
Selepas penjelasan ini, tinggal lagi beberapa perkara atapun zon-zon tertentu yang berkaitan dengan pendengar. Perkara sebegini tidak tertakluk dalam sebarang fatwa ataupun disiplin tertentu secara terperinci, malah ia terserah kepada hati dan ketaqwaan seseorang. Para pendengar adalah orang yang lebih faham keadaan dirinya dan lebih layak menjadi mufti (pemutus) kepada dirinya sendiri.

Setiap orang mengetahui dirinya, arah fikiran dan cetusan hatinya, lebih dari orang lain. Sekiranya nyanyian ataupun jenis-jenis tertentu darinya boleh menyalakan emosinya dan mendedahkannya kepada fitnah dan kejahatan, menyebabkannya berenang di alam fantasi dan memuncakkan nafsu kebinatangannya melebihi sudut spiritual, ketika itu dia perlu meninggalkannya. Dia perlu menutup pintu yang mungkin didatangi oleh angin fitnah kepada hati, agama dan akhlaknya. Hanya ketika itu sahaja, dia akan terselamat dari fitnah. Inilah yang digambarkan oleh sebuah hadis nabi:

الْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ. وَاْلاءثْمُ مَا لَمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلَمْ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَإِنْ أَفْتَاكَ الْمُفْتُونَ

'Kebaikan ialah apa yang ditenterami oleh jiwa dan ditenangi oleh hati sedangkan dosa ialah perkara yang tidak ditenterami oleh jiwa dan tidak ditenangi oleh hati, walau apapun yang telah difatwakan oleh orang-orang yang memberikan keputusan'.

Sumber: Fiqhul Ghina’ wal Musiqi fi Duil Quran was Sunnah.-(Feqah Nyayian dan Muzik berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah)-Oleh Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qardhawi.

-Artikel ini diambil dari http://www.bukitbesi.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan